PELAN SIMPANAN DENGAN PENDIDIKAN TAKAFUL

Friday, March 11, 2011

Tazkirah - Jangan Nafikan Hak Orang Lain

Situasi 1

Seorang guru atau pensyarah sedang mengajar di hadapan dengan penuh keikhlasan. Beberapa orang pelajar di bahagian hadapan sedang memberi tumpuan di dalam kelas.

Malangnya segelintir pelajar di bahagian belakang kelas sedang sibuk bersembang dengan rancaknya, malah sehingga mengganggu pengajaran guru di hadapan sekaligus mengganggu pelajar-pelajar yang sedang memberi tumpuan.

Situasi 2

Seorang pengunjung A sedang makan tengahari di sebuah kedai makan di bandar ibu kota. Dengan perut yang tengah lapar, maka pengunjung A tadi terus memesan makanan yang disediakan di dalam menu. Selang beberapa minit, hidangan pun sampai, maka pengunjung tadi pun memulakan suapan pertamanya.

Kemudian datang seorang pengunjung B lagi menghampiri kedai dan duduk di meja belakang pengunjung A lalu memesan hanya minuman. Sementara menunggu minumannya sampai, pengunjung B tadi mengeluarkan sekotak rokok dari poketnya lalu mengeluarkan sebatang rokok, lalu dihidupkan pemetik api untuk menyalakan rokoknya. Pengunjung A yang sedang menikmati juadahnya terus hilang selera disebabkan asap rokok tadi.

Bagaimana perasaan sahabat-sahabat jika perkara ini berlaku pada diri kita sendiri?

Dua situasi di atas mungkin pernah berlaku pada diri kita, mungkin di dalam kelas dan mungkin juga di kafe-kafe atau gerai makan. Mungkin perasaan geram, marah dan sebagainya akan timbul dalam diri kita dan mungkin juga sumpah seranah dan makian yang terkubur dalam hati yang tak mampu untuk diluahkan secara kasarnya.

Pernahkah orang yang melakukan perkara-perkara itu mengendahkan kehadiran kita?

Dunia ini bagaikan mereka yang punya, suka hati merekalah nak lakukan apa saja yang mereka suka, mereka nak bising ke, nak hisap rokok berpuluh-puluh batang ke, terpulang pada diri mereka. Mungkin itulah jawapan yang paling tepat yang boleh dikatakan bagi pihak mereka.

Jika dilihat dari perspektif kita mungkin mereka ini boleh digolongkan dalam golongan yang sebenarnya menafikan hak orang lain. Apabila menyebut menafikan hak orang lain, maka istilah yang boleh saya katakan tepat untuk mereka ialah zalim.

Kenapa Zalim?

Apabila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya maka itu dikira zalim. Seorang yang membuat bising di dalam kelas ketika mana guru sedang mengajar dan pelajar lain sedang menumpukan pada pengajaran guru dikira zalim kerana dia telah menganggu hak guru yang sedang mengajar dan pelajar lain yang sedang belajar.

Manakala seorang perokok dikira zalim kerana dia telah menafikan hak orang lain untuk menghirup udara segar yang diciptakan oleh Allah kepada setiap makhluk di muka bumi ini.
Tidak tepatkah andaian saya ini?

Ketika mana kita sedang seronok dengan perbuatan kita, orang lain sedang sengsara dengan perbuatan yang kita lakukan. Adilkah begitu wahai sahabat-sahabat?

Saya tinggalkan persoalan terakhir ini untuk kita sama-sama muhasabah diri kita semula, mungkin banyak lagi perkara yang kita dah nafikan hak orang lain, cuma dua perkara ini yang hendak saya ketengahkan.

Cuba kita fikir-fikirkan semula, pernah tak kita nafikan hak orang lain. Wallahualam..


No comments:

Post a Comment