PELAN SIMPANAN DENGAN PENDIDIKAN TAKAFUL

Tuesday, February 22, 2011

Bercerita Tentang Jodoh >>

Jodoh seperti rezeki, ia telah  ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah.  Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki  yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak  rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik  kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah  pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak  kewajiban untuk mentadbir.

"Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya," kata seorang abang yang sangat saya hormati.

"Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?"

"Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya," jawabnya pendek.

"Mengapa tidak mahu melihat wajahnya?  Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada  ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?" gurau saya.

"Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain..."

Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya  saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan  kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.

"Sebelum aktif sebagai aktivis Islam  seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama  sejak di sekolah rendah lagi," jelasnya dengan tenang.

"Habis mengapa putus?"

"Kami putus kerana dia ada jalan  tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia  selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10  tahun bercinta."

Wah, ini kisah cinta yang  dramatik!  Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu  iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah

"Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana  dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?" kata saya beralih  kepada maksud asal pertanyaan.

"Setelah putus, abang terus pinta guru  agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa  diganggu gugat lagi oleh emosi cinta."

"Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?"

"Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa."

"Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?"

"Eh, kamu masih tegar dengan soalan  asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut  perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal  isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa  melihat wajahnya."

Saya terkesima sebentar dan dengan  pantas saya bertanya kembali, "Tetapi abang akan terpaksa juga membuat  perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat  wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang  juga."

Sekali lagi dia senyum. Matanya  bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia  memang bercakap dari hatinya.

"Amat jauh bezanya antara membandingkan  wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang  telah kita nikahi..."

Pendek dia menjawabnya, namun terus  menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, "Apabila seorang  wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh  Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan  akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang  ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada  kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya,  siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua."

Cantik Itu Relatif dan Subjektif

"Abang tidak takut, kalau tiba-tiba  wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya,  er... er... kita masih manusia bukan?" saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.

"Ya, kita masih manusia. Tetapi kita  bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman  kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya,  kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya,  akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya."

"Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?"

"Semua yang datang daripada Allah ada  kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita  berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan  khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak  mendapat yang baik, bukan begitu?"

"Bukan yang cantik?" jolok saya lagi.

"Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder,  bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah  ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik  itu mutlak dan lebih kekal sifatnya," balasnya dengan yakin.

"Maksud abang?"

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.

"Kecantikan seorang wanita tidak sama  tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi  dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada  kecantikan wajah dan daya tarikan seksual."

Ketika saya ingin menyampuk, dia  menambah lagi, "Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan  sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah  dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan  nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami  hati suami."

"Oh, betul juga tu!" kata saya. Teringat  betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya,  "Sedap di mata tetapi sakit di hati..."
 


Wasilah Memilih Jodoh

"Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?" ujar saya dengan soalan nakal.

"Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja."

"Maksudnya yang dulu lebih cantik?"

"Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan  berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar  biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah  pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah.  Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?"

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

"Apa kaitannya dengan hati?" layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.

"Kalau hati kita indah, kita akan  sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak  akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin  akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah,  orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang  fatamorgana!"

'Ah, tentu dia bahagia kini!' bisik hati saya sendiri.

"Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?"

"Pilihlah jodoh dengan dua cara.  Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh  yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan  memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita."



Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik

"Tapi bang, ramai yang menolak kaedah  kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh  sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun  mereka orang yang baik-baik."

"Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik."

"Itu susah bang. Bukan mudah hendak  menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar  menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum."

Abang tersenyum lantas berkata, "Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?"

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.

"Kedua-dua cara itu boleh dijalankan  serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik,  insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan  orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari  orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh  orang yang baik!"

Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

"Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?"

"Kerana mereka bukan orang baik," jawabnya pendek.

"Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?"

"Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap  menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang  wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang  dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w."

"Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?"

"Kita boleh melihat persoalan ini dari  dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak  pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang  yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah  berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah  sebaliknya?"

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.



Jodoh Urusan Allah

"Dan mungkin juga anak itu orang baik  tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik  sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak  menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan  orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat."

"Bagaimana pula jika anak itu baik, dan  ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi  urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?" tanya saya inginkan  penjelasan muktamad.

"Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan  'orang baik' lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang  dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!"

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah  yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh  ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan  Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang  yang baik!

"Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat  sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang  wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma  sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan  hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah  yang bersuamikan Firaun laknatullah."

"Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?"

"Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi  mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke  tahap yang lebih tinggi."

"Hikmah untuk kita?"

"Jika takdirnya pahit untuk kita,  terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang  baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi  jika takdirnya  pasangan kita bermasalah... bersabarlah. Katakan pada diri  bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat  syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi  Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah."

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik  tulis saya diketuk. Wajah watak "abang bayangan" saya pergi tiba-tiba.  Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di  sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah  aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan  makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: "Yang penting bukan  siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah  denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang  baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya,  penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!"

Sumber : http://www.iluvislam.com

2 comments:

  1. nice... :)
    thanks for sharing..
    sy ambil ltak di blog sy ye..
    just for remind myself when the time comes

    ReplyDelete
  2. Thanks...
    boleh..
    sharing is caring ...
    Ilmu yang baik , hak untuk semua ..

    ReplyDelete