Ibnu Qayyim dalam menjelaskan mengenai hakikat kesyumulan iman menyebut bahawa:
“Iman mempunyai unsur lahir dan bathin. Zahirnya adalah
perkataan lidah dan amal anggota tubuh. Bathinnya adalah pembenaran
hati, kepatuhan dan kecintaannya. Tidak ada gunanya zahir jika tidak
disertai batin, sekalipun ada jaminan terhadap darah, harta dan
keturunannya.
Bathin tidak akan mendapat pahala selagi tidak ada zahirnya,
kecuali jika ada alasan yang masuk akal seperti tidak mampu, dipaksa
atau takut. Tidak adanya amal secara zahir padahal tidak ada
penghalangnya, merupakan bukti kerosakan bathin atau kerana di dalamnya
tidak ada iman. Kekurangan dalam amal menunjukkan kekurangan iman dan
kekuatan amal menunjukkan kekuatan Iman. Iman merupakan hati dan inti
Islam.” (Fawaid Al Fawaid ; Ibnu Qayyim Al Jauziyah)
“Iman di balik semua itu merupakan suatu hakikat yang terangkum, berupa pengetahuan mengenai apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang bersifat ilmu, membenarkannya yang bersifat aqidah, menyatakannya bersifat perkataan, tunduk kepadanya yang bersifat cinta dan kepasrahan, mengamalkannya yang bersifat zahir dan bathin serta menyebarkannya merupakan dakwah menurut kesanggupan. Kesempurnaan Iman itu ialah dengan mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan kerana Allah.” (Fawaid Al Fawaid ; Ibnu Qayyim Al Jauziyah)
Titik Mula Yang Betul.
Apabila kita melihat sirah suci Rasulullah s.a.w, baginda pertama kali memperhatikan aspek kebersihan ‘Aqidah Tauhid dan menyucikannya dari berbagai kotoran syirik, kerana itulah dasar yang akan menumpang berdirinya bangunan keperibadian seorang muslim yang selanjutnya akan melakukan dan memasuki fasa pembangunan keluarga, masyarakat kemudian pemerintah dan negara. Rasulullah s.a.w memperhatikan aspek Tarbiyyah dan Kadirisasi para Rijal ‘Aqidah dan Pasukan Dakwahnya. Ayat-ayat al Qur’an pada fasa ini turun dengan memfokuskan masalahnya pada masalah keimanan kepada Allah s.w.t, pada Hari Akhirat dan pembersihan ‘Aqidah Tauhid. Kemudian arahan untuk membersihkan diri dari Tradisi Jahiliyyah dan diganti dengan Ahklak Islam yang utama. Juga arahan untuk saling menasihati dengan kesabaran dan kebenaran, sekaligus persiapan jiwa untuk peperangan antara hak dan bathil. Hal itu tampak dalam dua peristiwa Bai’atul Aqabah ketika Rasulullah s.a.w meminta para sahabat untuk berjanji untuk melindunginya bila baginda berada di Madinah. (Fiqh Da’wah ; As Syeikh Mustafa Masyhur)
Kita lihat kaum muslimin ketika itu juga menghadapi cacian, penyiksaan, pembunuhan. Tapi Rasulullah s.a.w tetap menasihati mereka dengan sabar dan memberi khabar gembira dengan syurga dan kemenangan. Rasullullah s.a.w tidak meminta mereka membalas cacian itu dengan kekuatan. Meskipun mungkin saja Rasulullah s.a.w memerintahkan mereka untuk membunuh Abu Jahal misalnya atau meruntuhkan berhala untuk menghilangkan kemungkaran. Tapi hal itu tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Kerana bila itu terjadi akan memunculkan heboh di kalangan Musyrikin. Dan bila itu terjadi mereka pasti akan mengadakan aksi penghancuran dakwah’ berikut kepada pengikutnya, padahal ketika itu dakwah masih sangat lemah dan pengikutnya masih sedikit. Dan kalau begitu, kemusyrikan dan kemungkaran tidak akan lenyap kerana aksi yang terbatas pada tahapan itu.
Itulah Manhaj Perjuangan Rasululllah pada fasa itu. Mempersiapkan Kadir Inti yang kuat yang akan menjadi dasar bangunan. Mereka dibina sesuai dengan ayat al Qur’an di Madrasah Rasulullah s.a.w. untuk tunduk pada perintah Allah, dengan melakukan Qiamullail untuk menambah bekal lantaran mereka memikul amanat berat sebagaimana firman Allah;
“Hai orang-orang yang berselimut (Muhammad s.a.w), bangunlah (untuk solat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih seperdua itu. Dan bacalah Al Qur’an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.”
(Al Muzzammil: 1-5)
Inilah juga proses pertama yang mesti dilalui oleh mereka yang ingin melibatkan diri di dalam Harakah Islamiyyah, iaitu proses membersihkan hati dari segala Karat-Karat Jahiliyyah dan seterusnya menanam Bibit-Bibit Keimanan yang bersih dan murni. Inilah salah satu ciri utama yang menjadikan Generasi Awal Al Qur’an sebagai satu Generasi Yang Cemerlang (Jiil ul Quran unfarid).
Inilah juga proses awal yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli-ahli anggota Harakah ataupun Jemaah Islamiyyah yang mengharapkan natijah yang sama. Inilah faktor yang terlebih dahulu dilihat sebelum kita atau mana-mana kumpulan berfikir dan merancang menegakkan peraturan masyarakat yang Islamik, dalam usaha membangunkan sebuah masyarakat atau Ummah Islamiyyah di tengah-tengah kepekatan Jahiliyyah Moden ini.
Kita perlu mencontohi proses pembentukan dan pembangunan yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w 14 abad yang silam. Dengan meyakini Uslub Rasulullah s.a.w adalah bimbingan wahyu Ilahi dan meyakini ‘Uslub Rasulullah s.a.w’ itu sendiri adalah hasil dari proses Tarbiyyah Islamiyyah yang bertolak dari keyakinan kepada Allah s.w.t dan keyakinan kepada Rasulullah s.a.w.
Uslub Rasulullah s.a.w bermula dengan penekanan dasar dan penegakkan Tauhid Rubbubiyatillah dan Tauhid Uluhiyatillah. Uslub yang melahirkan Ubudiatillahi Wahdah di dalam ‘itiqad, ibadah, akhlak, syari’at bahkan dalam semua tindakan. Perkara-perkara ini boleh kita baca dan kita ambil dari mana-mana saja tapi dari segi perlaksanaannya susah kita hendak lahirkan. Oleh itu contoh kita terus kepada generasi yang dididik oleh Rasulullah s.a.w dengan bimbingan wahyu.
Sesungguhnya membentuk dan membangunkan Keperibadian Islam pada individu-individu Muslim dan Jamaah Islamiyyah berdasarkan kepada Tauhid tadi adalah langkah pertama dan asas dalam usaha awal membina masyarakat Islam yang terlaksana di dalam penghayatan hidup mereka hukum-hukum Allah s.w.t dan peradaban Islam yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Keperibadian yang bersih daripada percampuran antara Jahiliyyah dengan Islam. Tegasnya bersih daripada pertembungan antara haq dan bathil di dalam masyarakat Islam itu sendiri.
Sumber : http://www.haluantarbawi.com
No comments:
Post a Comment