PELAN SIMPANAN DENGAN PENDIDIKAN TAKAFUL

Sunday, February 27, 2011

KLHC layak bergelar juara

(PARA pemain KLHC bergambar selepas dinobatkan selaku juara Liga Hoki Malaysia di Stadium Tun Fatimah, Melaka semalam.)
KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) membuktikan mereka memang layak bergelar juara Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.

Pada perlawanan terakhir semalam, KLHC membelasah pasukan di tangga kedua, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-0 di Stadium Tun Fatimah, Melaka.

Dengan kemenangan tersebut, KLHC berjaya mengumpul 43 mata selepas mencatat 14 kemenangan, sekali seri dan sekali kalah.

Bagaimanapun aksi terakhir semalam tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan KLHC di persada liga.

Ini kerana, pasukan itu sudahpun mengesahkan kejuaraan musim ini pada minggu lepas apabila membelasah Nur Insafi 5-0 di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kemenangan ke atas Nur Insafi itu turut membolehkan KLHC mengatasi pasukan di tangga kedua, TNB dengan kelebihan enam mata.

TNB gagal memintas kedudukan itu meskipun mereka berjaya menewaskan KLHC pada perlawanan terakhir semalam.

Pada aksi malam tadi, KLHC pada mulanya bermain di bawah kemampuan sebenar pada babak pertama.
Mereka hanya berjaya memperoleh gol yang dicari-cari pada minit ke-35 menerusi pukulan sudut penalti, Muhamad Razie Abd. Rahim.

Bagaimanapun KLHC memperkemaskan permainan pada babak kedua dan mereka berjaya menambah jaringan menerusi gol padang menerusi bekas pemain kebangsaan, Chua Boon Huat pada minit ke-43.
Pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajudin A. Jalil menambah derita TNB apabila menjaringkan gol ketiga KLHC pada minit ke-59.

Sementara itu, pasukan di tangga ketiga, Sapura menewaskan ATM Airod 5-1.
Gol-gol Sapura dijaringkan oleh Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ketujuh, Lim Woo Geun (34 dan 67), Rehan Butt (44) dan Jiwa Mohan (60).

Perlawanan lain turut menyaksikan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) berjaya mengutip tiga mata penuh apabila mengalahkan Maybank 5-3.

Manakala UNIKL mencatat kemenangan besar 3-0 ke atas pasukan di tangga tercorot iaitu UiTM.
Selaku juara, KLHC membawa pulang wang tunai berjumlah RM60,000 dan trofi kejuaraan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Sumber : http://kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment