PELAN SIMPANAN DENGAN PENDIDIKAN TAKAFUL

Saturday, March 5, 2011

PM - Azizulhasni tokoh ikon sebenar

Azizulhasni menerima wang semperna anugerah skim insentif khas
MELBOURNE - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan jaguh lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang yang tetap meneruskan perlumbaan walaupun mengalami kecederaan semasa kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester bulan lepas, seba- gai tokoh ikon yang sebenarnya.

"Kamu membuat kami merasa bangga. Kamu telah menunjukkan apa sebenarnya erti semangat.
"Sebenarnya kamu adalah tokoh ikon yang sebenar-benarnya yang tidak mengenal erti menyerah kalah," kata Perdana Menteri pada satu majlis makan tengah hari dengan rakyat Malaysia di Melbourne semalam. Majlis tersebut dihadiri Azizulhasni serta pelajar Malaysia di Univer- siti Melbourne.

Azizulhasni merupakan penuntut di universiti itu dan kini berpangkalan di Melbourne bersama skuad berbasikal trek negara yang lain menjalani latihan.
Pada majlis itu, Najib kemu- dian menyampaikan sumbangan AUS$10,000 (RM30,679) daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kepada pelumba tersebut.

Najib juga menyifatkan episod Azizulhasni itu sebagai satu cerita yang menarik.
"Dalam hidup, kamu tidak boleh ada perkataan menyerah kalah.
"Anda hadapi rintangan, anda atasi rintangan itu. Anda hadapi cabaran, anda menanggung kesakitan itu dan jika anda tanggung kesakitan itu, anda akan berjaya," katanya.

NAJIB (kanan) bersalaman dengan Azizulhasni pada majlis perjumpaan dengan rakyat Malaysia di Melbourne semalam.
 Azizulhasni terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kirinya sewaktu menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester dua minggu lepas.

Biarpun betisnya masih tertusuk serpihan kayu itu, Azizulhasni bingkas menunggang semula basikalnya untuk menamatkan perlumbaan dan meraih pingat gangsa, memastikannya terus mengungguli ranking pertama Siri Klasik Piala Dunia.

Najib berkata, Azizulhasni juga merupakan simbol dalam hubungan Malaysia-Australia seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Australia, Julia Gillard bahawa Azizulhasni adalah pelumba Malaysia bertaraf dunia di bawah asuhan Australia.

Sambil mengucapkan selamat berjaya kepada Azizulhasni, Najib berkata, Malaysia mahu pelumba itu membuat negara berasa bangga dengan meraih emas.

Malaysia menyandarkan harapan kepada Azizulhasni untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Sumber : http://kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment